6:18 PM

Ilmu Qiraat

MUQADDIMAH
Ilmu Qiraat merupakan salah satu bidang ilmu yang punya kedudukan tinggi di dalam bidang ilmu di dalam Islam. Kepelbagaian di dalam qiraat memberikan satu petunjuk yang jelas bahawa al-Quran bukanlah kalam yang diciptakan oleh makhluk. Kalam suci Allah taala mustahil punya pertentangan antara satu sama lain. Firman Allah taala di dalam surah an-Nisa’ ayat 82:
أَفَلا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآَنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلافًا كَثِيرًا
Maksudnya : “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan Yang banyak di dalamnya”.
Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa jika kita benar-benar meneliti ayat Allah taala maka pasti tidak akan kita dapati sebarang kesalahan padanya. Perbezaan pendapat ulama di dalam menentukan sesuatu hukum juga ada kaitan rapat dengan ilmu ini. Namun secara jelasnya, perbezaan pendapat ulama di dalam permasalahan hukum bukan hanya tertumpu kepada satu sebab semata-mata. Ilmu Qiraat cuma merupakan salah satu cabang ilmu yang juga memberikan kesan terhadap perbezaan pendapat tersebut.
Semoga perbahasan ringkas ini dapat menjadi panduan buat kita memahami sepintas lalu berkenaan kepentingan ilmu Qiraat ini dan kaitannya di dalam menentukan khilaf di kalangan para ulama.
DEFINISI
1. Qiraat ialah perbezaan yang terdapat pada lafaz al-Quran samada hurufnya atau cara untuk melafazkannya samada ayat tersebut dibaca dengan tasydid atau takhfif dan lain-lain.
2. Sebahagian Ulama mengatakan bahawa maksud Qiraat ialah melafazkan sebutan di dalam al-Quran sebagaimana yang disebutkan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam.
3. Jelas daripada maksud yang disebutkan hakikatnya terdapat perbezaan di antara al-Quran dan Qiraat. Ini seperti yang disebutkan oleh al-Imam al-Zarkasyi rahimahullah di dalam kitabnya al-Burhan.
TITIK PERSAMAAN DAN PERBEZAAN DI ANTARA AL-QURAN DAN QIRAAT
1. Persamaan di antara al-Quran dengan Qiraat ialah kedua-duanya merupakan wahyu daripada Allah taala yang disampaikan kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam melalui Saidina Jibril alaihi al-salam.

2. Perbezaan di antara al-Quran dan Qiraat ialah :
i. القرآن هو اللفظ العربي المعجز الموحى به إلى سيدنا محمد صلى الله عليه و سلم المتعبد بتلاوته و الواصل إلينا عن طريق التواتر.
ii. القراءات هى اختلاف ألفاظ الوحى فى الحروف أو كيفيتها من تخفيف و تشديد و غيرهما .
HIKMAH DISYARIATKAN ILMU QIRAAT
1. Memudahkan bagi umat yang berbilang bangsa untuk membaca al-Quran dengan cara yang sebenar tanpa ada kesalahan.
2. Ilmu Qiraat ini juga boleh menjadi satu hujjah kepada golongan yang benar-benar mengkaji al-Quran dengan teliti bahawa al-Quran benar-benar kalam Allah taala serta bukannya rekaan Baginda sallallahu alaihi wasallam seperti mana yang didakwa oleh golongan Oreantalis.
FAEDAH BERLAKUNYA IKHTILAF DI DALAM QIRAAT
1. Boleh menggabungkan umat keseluruhannya terutama umat Islam mutakhir ini di bawah naungan lisan yang satu iaitu lisan Quraisy. Ini kerana al-Quran diturunkan di dalam bahasa mereka.

2. Menerangkan hukum-hakam yang kurang jelas di dalam sebuah ayat. Contohnya Firman Allah taala di dalam surah al-Nisa ayat 12:

وَإِنْ كَانَ رَجُلٌ يُورَثُ كَلالَةً أَوِ امْرَأَةٌ وَلَهُ أَخٌ أَوْ أُخْتٌ فَلِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا السُّدُسُ
Di dalam riwayat bacaan Saad bin Abu Waqqas radhiyallahu anhu terdapat tambahan selepas ukhtun iaitu :

وَلَهُ أَخٌ أَوْ أُخْتٌ من أم
Maka ini menjelaskan lagi maksud sebenar saudara wanita yang terdapat di dalam riwayat mutawatir tersebut.
Contoh lain seperti firman Allah taala di dalam surah al-Maidah ayat 89:
فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ
Ayat ini tidak menerangkan adakah hamba yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut umum samada kepada hamba yang mukmin atau kafir. Di dalam satu riwayat disebutkan:

أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مؤمنة
Maka riwayat ini menjelaskan lagi maksud sebenar hamba tersebut hanyalah kepada hamba mukmin sahaja.

3. Menggabungkan dua hukum yang berbeza dengan digabungkan kedua-dua jenis bacaan. Contohnya firman Allah taala di dalam surah al-Baqarah ayat 222:
فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ وَلا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّى يَطْهُرْنَ
Di dalam riwayat Hamzah, Kisa’ie, Khalaf dan Syukbah perkataan يَطْهُرْنَ dibacakan dengan tasydid :
حَتَّى يَطَّهَّرْنَ
Bacaan tanpa tasydid tentulah beza maknanya dengan bacaan bertasydid. Ini dapat kita ketahui dengan mempelajari ilmu Sarf. Perkataan bertasydid memberi makna benar-benar bersih iaitu setelah selesai mandi. Manakala bacaan tanpa tasydid tidak menunjukkan makna sedemikian hanya sekadar setelah terputus waktu keluar darah.
Maka bacaan bertasydid menggabungkan kedua-dua hukum hasil pemahaman para ulama terhadap ayat tersebut. Ini yang dipegang oleh Mazhab al-Imam Syafie radhiyallahu anhum iaitu dengan menggabungkan kedua-dua bersih tersebut(putus haid dan setelah mandi barulah boleh bersama dengan suami).
4. Menunjukkan dua hukum syarak di dalam satu ayat tetapi dalam keadaan yang berbeza . Contohnya firman Allah taala di dalam surah al-Ma’idah ayat 6:
فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Al-Imam Nafi’, Ibn A’mir, al-Kisa’ie, Yaakub dan Hafs membaca dengan dinasabkan
(أَرْجُلَكُم). Qurra’ selain daripada mereka membaca dengan dibaris bawahkan lafaz tersebut menjadi (أَرْجُلِكُمْ).
Jika dibaca dengan nasab maka ianya memberi makna suruhan untuk membasuh kaki tersebut. Manakala jika dibaca dengan lafaz (أَرْجُلِكُم) maka ianya memberi makna kaki tersebut disapu. Inilah yang dipegang oleh golongan Syiah Imamiyah.
Jumhur Ulama Ahlussunnah menolak hujah mereka dengan mengatakan bacaan dengan baris bawah memberi faedah bahawa yang di sapu bukanlah kaki tetapi khuf yang dipakai. Ini berdasarkan riwayat hadis yang mutawatir bahawa Baginda sallallahu alaihi wasallam tidak pernah menyapu kaki ketika berwudhuk melainkan ketika memakai khuf.

5. Mengelakkan daripada berlakunya kesalahan di dalam memahami maksud sebenar ayat di dalam al-Quran. Contohnya firman Allah taala di dalam surah al-Jumu’ah ayat 9:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ
Di dalam satu lagi riwayat perkataan (فَاسْعَوْا) ditukarkan kepada (فامضوا).Maka ini menjelaskan kepada kita bahawa maksud ayat tersebut bukanlah menyuruh agar kita berlari-lari dengan cepat bilamana mendengar azan Jumaat sebaliknya bersegera untuk melaksanakan perintah Allah taala dengan menunaikan solat Jumaat.

6. Menerangkan lafaz yang kurang jelas difahami oleh pembaca maksud sebenar ayat tersebut. Contohnya firman Allah taala di dalam surah al-Qari’ah ayat 5:
وَتَكُونُ الْجِبَالُ كَالْعِهْنِ الْمَنْفُوشِ
Perkataan (الْعِهْن) di dalam ayat tersebut dapat difahami dengan jelas jika kita melihat kepada riwayat yang lain di dalam ilmu qiraat. Terdapat riwayat yang membaca dengan
(كالصوف المنقوش). Maka ini menjelaskan maksud (الْعِهْن) ialah bulu binatang.


7. Menjelaskan lagi tentang sebahagian permasalahan aqidah yang menyebabkan sebahagian umat menjadi sesat kerana tidak memahami ilmu Qiraat. Contohnya seperti permasalahan melihat Allah taala di akhirat kelak. Ini disebutkan oleh Allah taala di dalam ayat 20 surah al-Insan:
وَإِذَا رَأَيْتَ ثَمَّ رَأَيْتَ نَعِيمًا وَمُلْكًا كَبِيرًا
Di dalam satu lagi riwayat perkataan (مُلْكًا) dibaca dengan (مَلِكًا). Riwayat kedua ini telah memberikan kepada kita satu kefahaman yang baik terhadap maksud ayat tersebut. Ini menguatkan hujah ahlussunnah wal jamaah yang mengatakan bahawa Allah taala boleh dilihat pada hari akhirat kelak.
JENIS-JENIS IKHTILAF YANG TERDAPAT DI DALAM QIRAAT
1. IKHTILAF PADA LAFAZ TETAPI MAKSUDNYA SAMA

i. Al-Imam Ibn Jazari rahimahullah menerangkan bahawa ikhtilaf jenis ini hanya berlaku di dalam masalah loghat Arab itu sendiri.

ii. Ini kerana loghat Bangsa Arab yang terdapat di dalam al-Quran terdapat lebih kurang 42 loghat. Ianya seperti yang disebutkan oleh al-Imam Abu Bakar al-Wahidi rahimahullah di dalam kitabnya الإرشاد في القراءات العشر .

iii. Antara contoh bagi jenis ikhtilaf yang pertama ini ialah:

a. الصراط – al-Imam Ibn Kathir al-Makki membaca dengan menukarkan huruf ص kepada س iaitu السراط.

b. عليهم -al-Imam Qurthubi rahimahullah menyebutkan bahawa perkataan ini sahaja terdapat 10 bacaan padanya.

c. القدس - al-Imam Ibn Kathir al-Makki satu-satunya Qurra’ yang membaca perkataan ini dengan disukunkan pada huruf د menjadi القدْس. Manakala para Qurra’ yang lain membacanya dengan didhammahkan pada huruf د menjadi القدُس.



2. IKHTILAF PADA MAKNA DAN LAFAZ SECARA KESELURUHANNYA TETAPI KEDUA-DUANYA BOLEH DIGABUNGKAN.

i. Al-Imam Ibn Jazari rahimahullah menyebutkan beberapa contoh ayat yang punya kaitan dengan jenis kedua.

ii. Antaranya ialah:

a. مالك dan ملك di dalam surah al-Fatihah.
b. يكذّبون dan يكذِبون
c. ننشزها dan ننشرها di dalam surah al-Baqarah ayat 259.

3. IKHTILAF PADA MAKNA DAN LAFAZ SERTA TIDAK BOLEH DIGABUNGKAN PADA SATU PERKARA SAMA TETAPI BOLEH BERSEPAKAT MAKSUDNYA DI DALAM PERMASALAHAN YANG BERBEZA.

i. Al-Imam Ibn Jazari rahimahullah menyebutkan permasalahan ini secara panjang lebar di dalam kitab النشر فى القراءات العشر.

ii. Antaranya seperti yang disebutkan di dalam:

a. Surah Yusuf ayat 110.

b. Surah Ibrahim ayat 46.

c. Surah al-Nahl ayat 110.

d. Surah al-Isra ayat 102.

BAGAIMANA MENENTUKAN SESUATU QIRAAT ITU SEBAGAI QIRAAT YANG MUTAWATIR?
1. Menurut al-Imam Ibn Jazari rahimahullah, di antara rukun bagi qiraat yang sahih ialah:

i. Bertepatan dengan kaedah Bahasa Arab walaupun dengan satu bentuk daripada loghat yang mereka gunakan.
ii. Bertepatan dengan salah satu daripada Mushaf Uthmani walaupun dengan ihtimal .
iii. Sahih sanad pengambilannya daripada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

2. Ketiga-tiga rukun ini perlu ada kepada sesuatu qiraat bagi menentukan sama ada ianya sahih atau tidak. Ini bermakna, jika salah satu daripada rukun itu tidak dipenuhi maka ianya akan dihukumkan sebagai bacaan yang syaz,batil atau dhoif.

PERBEZAAN DI ANTARA IKHTILAF QURRA’ DAN IKHTILAF FUQAHA
1. Perlu kita fahami bahawa terdapat perbezaan di antara ikhtilaf qurra’ dan ikhtilaf yang berlaku di kalangan fuqaha’.

2. Ikhtilaf yang berlaku dikalangan para qurra’ ialah ikhtilaf yang semuanya pada pihak yang benar. Ini kerana masing-masing mengambil sumber bacaan daripada sanad yang benar-benar sampai kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam.

3. Manakala ikhtilaf yang berlaku di kalangan para fuqaha adalah ikhtilaf secara ijtihad. Ikhtilaf secara ini mungkin ada yang tepat dan mungkin tidak. Tetapi kesemuanya mendapat pahala dan tidak tercela kerana mereka semua mengeluarkan hukum berdasarkan ilmu yang ada pada mereka.
ADAKAH HUKUM SEMUANYA DI AMBIL DARIPADA QIRAAT YANG MUTAWATIR SAHAJA?
1. Jumhur para ulama mengatakan bahawa qiraat Syaz juga boleh digunakan sebagai sumber pengambilan hukum.

2. Kedudukan qiraat syaz di dalam permasalahan hukum adalah seperti khabar ahad di dalam ilmu Hadis.

CONTOH HUKUM YANG DIKELUARKAN DARIPADA RIWAYAT SYAZ
Banyak contoh hukum yang dikeluarkan oleh ulama berdasarkan hujah yang terdapat di dalam qiraat syaz. Antaranya ialah:
a. Hukum memotong tangan kanan bagi pencuri di ambil daripada riwayat bacaan Saidina Ibnu Mas’ud radhiyallahu anhu. Firman Allah taala di dalam surah al-Maidah ayat 38:
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا
Ayat ini tidak menerangkan tangan manakah yang perlu dipotong terlebih dahulu. Di dalam riwayat bacaan Saidina Ibnu Mas’ud radhiyallahu anhu diperjelaskan perkara ini. Bacaannya ialah:
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْمانَهُمَا
b. Kedudukan para ulama dan ketinggian mereka di sisi Allah taala juga diterangkan di dalam ayat 28 surah Fathir:
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
Di dalam riwayat mutawatir perkataan Allah dibaca dengan dibariskan dengan baris fathah dan perkataan ulama dibariskan dengan baris dhommah. Manakala di dalam riwayat Saidina Umar bin Abd Aziz radhiyallahu anhu dan al-Imam Abu Hanifah perkataan Allah dibacakan dengan baris dhommah dan ulama dibaca dengan baris fathah.
Kata al-Imam al-Zarkasyi rahimahullah maksud khasyah di dalam ayat tersebut perlu ditakwilkan. Maka maksud khasyah jika menggunakan riwayat syaz bermaksud Allah taala meninggikan dan mengagungkan para ulama. Maka khasyah menurut riwayat ini bukanlah bermaksud takut. Jika diletakkan dengan makna takut maka akan menjadikan maknanya tidak bertepatan dengan kehendak syarak.

c. Para ulama Hanafiyah juga berhujah menggunakan riwayat syaz di dalam menentukan permasalahan wajibnya berpuasa secara tiga hari berturut-turut bagi orang yang ingin melaksanakan kafarah sumpah. Ini seperti yang disebutkan di dalam riwayat Saidina Ibn Mas’ud radhiyallahu anhu:
فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلاثَةِ متتابعات أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ
Manakala di dalam bacaan secara mutawatir ialah:
فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلاثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ
Para ulama Hanafiyah menyalahi jumhur ulama Syafie di dalam menggunakan dalil daripada riwayat Ibn Mas’ud tersebut. Ini kerana bagi para ulama Syafieyah, ayat tersebut telah berlaku nasikh dan mansukh.

ANTARA CONTOH PERBEZAAN HUKUM DAN MAKSUD BERDASARKAN QIRAAT MUTAWATIR
1. Jumhur para qurra’ membaca ayat 106 surah al-Baqarah:
مَا نَنْسَخْ مِنْ آَيَةٍ أَوْ نُنْسِهَا نَأْتِ بِخَيْرٍ مِنْهَا
Manakala Ibn Kathir dan Abu Amru membaca (نُنْسِهَا) dengan bacaan (نَنسأها). Bacaan kedua-dua imam ini sekaligus menerangkan kepada kita maksud sebenar ayat tersebut. Ini kerana jika dibuat penterjemahan maka perkataan (نُنْسِهَا) bermaksud lupa. Maka ini tidak layak bagi Allah taala. Perkataan (نَنسأها) pula memberi makna melambatkan. Maka ini lebih sesuai maksudnya bagi ayat tersebut. Maka bacaan kedua ini hakikatnya adalah sebagai penerang semula kepada ayat yang pertama.
2. Para ulama juga berbeza pendapat di dalam permasalahan batal wudhuk berdasarkan khilaf yang terdapat di dalam qiraat mutawatir. Contohnya seperti ayat 43 surah al-Nisa’:
أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ
Jumhur Qurra’ membaca dengan diisbatkan huruf alif ppada perkataan (لامَسْتُمُ). Manakala al-Imam Hamzah dan Kisa’ie membacanya dengan dihazafkan huruf alif tersebut. Maka bacaan tersebut menurut kedua-dua Imam itu ialah (لمستم النساء).
Kedua-dua bacaan ini mempunyai perbezaan dari segi maksudnya. Namun tiada percanggahan pada kedua-dua ayat ini.
ADAKAH MEMADAI ILMU QIRAAT UNTUK MEMAHAMI KITAB ALLAH?
1. Hakikat yang perlu disedari oleh kita ilmu qiraat semata-mata tidak akan membolehkan untuk kita memahami kitab Allah taala secara sempurna.

2. Banyak lagi cabang ilmu Islam yang perlu di dalami oleh para pelajar demi merealisasikan generasi al-Quran yang sebenar.

3. Generasi al-Quran yang sebenar bukanlah hanya semata-mata menghafaz al-Quran dan mengetahui ilmu Qiraat tetapi turut menguasai ilmu lain seperti Tafsir, Hadis, Fiqh, Aqidah dan lain-lain.

4. Jika kita memerhatikan dengan teliti, perbincangan ilmu Qiraat banyak berkisar tentang Nahwu, Sarf dan Bahasa Arab. Maka penuntut ilmu Qiraat perlu untuk mendalami ketiga-tiga ilmu ini sebaiknya.
PERANAN AZHARI DI DALAM MENDALAMI ILMU QIRAAT
1. Perlu mendalami ilmu ini sebaiknya dan secara mendalam.

2. Tidak sekadar belajar ilmu qiraat seperti melepaskan batuk di tangga.

3. Dewan Perwakilan Mahasiswa Syubro perlu merancang satu program jangka panjang bagi melahirkan generasi Qurra’ yang benar-benar berkualiti.

4. Perlu meletakkan di dalam diri bahawa jika tidak mempelajari dengan sebaiknya maka kita secara tidak langsung telah mencalari nama baik al-Azhar. Maka wajib bagi kita menguasainya dengan sebaik mungkin.

5. Perlu memastikan kesinambungan ilmu ini berterusan dengan memberi galakan kepada masyarakat di Malaysia khususnya bagi mendalami ilmu ini di al-Azhar.

6. Tidak hanya berpada dengan ilmu Qiraat tanpa menumpukan ilmu-ilmu asas yang lain.
PERANAN PELAJAR BUKAN AL-AZHAR(PERUBATAN DAN LAIN-LAIN) DI DALAM MEMAHAMI ILMU INI
1. Meletakkan kecintaan dan keyakinan yang tinggi bahawa ilmu qiraat ini adalah salah satu ilmu Allah taala yang diberikan kepada umatNya.

2. Merebut peluang masa yang ada di bumi Mesir ini untuk mempelajari ilmu Qiraat dengan bertalaqqi bersama para ulama al-Azhar al-Syarif.

3. Mengadakan hubungan baik dengan DPM Syubro bagi melaksanakan program memahami al-Quran dengan sebaiknya bagi melahirkan doktor Muslim dan Muslimah yang sebenar.

4. Meletakkan di dalam jiwa sanubari bahawa perlu ada di dalam ahli keluarga kita kelak yang salah seorangnya akan mendalami ilmu al-Quran ini dengan sebaiknya.

KESIMPULAN
1. Jelas kita dapati betapa besarnya peranan ilmu Qiraat dan kesannya terhadap perkembangan Ilmu Islam.
2. Berdasarkan kesedaran sebegini, maka perlu bagi kita untuk benar-benar mendalami dan menjaganya agar kita tidak termasuk di dalam generasi golongan yang mempelajarinya secara sambil lewa.
3. Berbilang-bilangnya Qiraat menguatkan lagi keyakinan kita bahawa ianya merupakan kalam Allah taala dan benarnya Baginda sallallahu alaihi wasallam.

RUJUKAN
1. الكامل المفصل فى القراءات الأربعة عشر - disusun oleh al-Allamah Syeikh Dr Ahmad Isa al-Ma’sarawi hafizahullah. Cetakan pertama 2009 Darul Imam Syatibi.
2. مناهل العرفان فى علوم القرآن - oleh al-Allamah Syeikh Muhammad Abd Adzim al-Zurqani rahimahullah. Cetakan Darul Hadis.
3. الإتقان فى علوم القرآن - oleh al-Imam al-Allamah Jalaluddin al-Suyuti rahimahullah. Tahqiq Syeikh al-Allamah Dr Mustafa Bugho hafizahullah. Cetakan Pertama 2008 Darul Mustafa Dimasyk.
4. أثر اللغة فى اختلاف المجتهدين - oleh Syeikh Abdul Wahab Abdul Salam Thawilah. Cetakan Kedua 2000 Darul Salam Kaherah.
5. التبيان لبعض المباحث المتعلقة بالقرآن على طريق الإتقان - oleh al-Allamah Syeikh Tahir al-Jaza’iri al-Dimasyki. Tahqiq al-Allamah al-Muhaddis Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah. Cetakan Maktab Matbu’ah al-Islamiyah.
6. روائع البيان تفسير آيات الأحكام oleh Syeikh al-Allamah Mufassir Muhammad Ali al-Shobuni hafizahullah. Cetakan Pertama 1999 Darul Shobuni.
7. التبيان فى علوم القرآن - oleh Syeikh al-Allamah Mufassir Muhammad Ali al-Shobuni hafizahullah. Cetakan Kedua 2003 Darul Shobuni.
8. الإنصاف فى بيان أسباب الإختلاف - oleh Syeikh al-Allamah Waliyullah al-Dihlawi rahimahullah.Tahqiq oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah. Cetakan Pertama 1977 Darul Nafa’is.
9. أثر اختلاف المفسرين فى قواعد الأصولية اللغوية فى تفسير آيات الأحكام - oleh Dr. Muhammad Abdul Salam Abu Khuzaim. Cetakan 2008 Darul Yusri.
10. مجلة الشريعة و الدراسات الإسلامية - jilid 4,6,37, 43,49,56.
11. من روائع القرآن - oleh Syeikh al-Allamah Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buty. Cetakan Darul Farabi .
12. حقائق الإسلام فى مواجهة شبهات المشككين - oleh Jamaah Para Ulama al-Azhar. Keluaran Kementerian Keagamaan Mesir. Dibawah seliaan Dr Mahmud Hamdi Za’zuq.
13. دفع شبهات المفترين حول القرآن الكريم oleh Dr Jum’ah Ali Abdul Qadir. Cetakan Kuliyah Usuluddin al-Azhar al-Syarif.
14. مقالات الكوثري - oleh Syeikh al-Allamah Muhammad Zahid al-Kauthari rahimahullah. Cetakan Darul Salam.
15. ردود علماء المسلمين على شبهات الملحدين و المستشرقين - oleh Syeikh Muhammad Yasin. Cetakan Maktabah Iman .
16. الجامع لأحكام القرآن - oleh al-Allamah Imam al-Qurtubi rahimahullah. Cetakan Muassasah al-Risalah.
17. تفسير الشيخ شعراوى - oleh al-Imam Muhammad Mutawalli Sya’rawi rahimahullah.

Comments (0)

Post a Comment